Tuesday, July 29, 2008

INSAFLAH!!!!!



Assalamualaikum..


[Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan " Taubat Nasuha",]-surah At-Tahrim :8


Alhamdulillah,bersyukur kepada Allah s.w.t dengan rahmatnya pada kali ini saya telah dapat menghasilkan posting terbaru yang tidak seberapa ini.Kali ini saya tertarik dengan kalimah yang berbunyi 'Taubat Nasuha'.Cuba kita amati,apakah makna dan isi yang tersirat disebalik kalimah tersebut.


Taubat dari segi bahasa,kembali atau pulang.Dari segi syara',hamba yang kembali kepada Allah s.w.t dengan mendekati diri kepadaNya.Nasuha dari segi bahasa pula,bermakna benar semata-mata atau sebenar-benarnya. –[Rujukan: Nuzhatul-Muttaqin bagi syarah Riyadus Salihin Al-Imam Nawawi,bab Taubat].Maksudnya disini,taubat nasuha ini adalah taubat yang mana untuk kita mendampingkan diri kepada Allah s.w.t dan kembali kepadaNya dengan sebenar-benar kembali dan tidak mengulangi lagi kesalahan dan dosa yang lalu.


Hamba yang telah melakukan maksiat itu sebenarnya telah menderhaka kepada Allah s.w.t.Contohnya kita dengan ibu bapa kita,jika kita menderhaka kepada keduanya tidaklah kita mendapat redha Allah s.w.t yang mana telah dirakamkan didalam hadis nabi yang sering kita dengari.Sebaliknya jika kita taat kepada keduanya,kita akan mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang tidak disukai.Jesteru itu kita dengan Allah s.w.t begitu juga,malahan lebih lagi hendaknya.


Begitu juga kita dengan sesama saudara seislam,jauhilah diri kita dari menganiaya dan mengambil yang bukan hak bagi kita dalam kehidupan ini.Bagi kita sesama manusia jika kita melakukan kesalahan,hendaklah kita memohon maaf kepada yang terbabit dan menerima hukuman yang setimpal dengan apa yang telah dilakukan.Dan didalam AL-Quran,As-Sunnah dan Ijma' Ulama ada menekankan keatas kewajiban bertaubat.


Dan dari Abi Hurairah r.a mengatakan,aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : demi allah,bahawasanya daku beristighfar dan aku bertaubat kepada Allah pada sehari semalam lebih banyak daripada 70 kali ( hadis riwayat Imam Bukhari ).


Marilah kita teliti hadis diatas,Rasulullah yang merupakan 'maksum' dan telah dijanjikan syurga tetap juga bertaubat lebih dari 70 kali sehari semalam.Tetapi kita umat dewasa ini,yang sering alpa dan tidak terlepas dari melakukan maksiat mengabaikan ibadah taubat yang ada didalam islam tersebut.Ingatlah sahabat-sahabatku,di manakah kedudukan kita ketika ini..?apakah kemaksiatan yang telah kita lakukan..?semua itu akan dihisab oleh Allah s.w.t di akhirat kelak.


Para sahabat ingatlah,kita tidak mengetahui bila nafas yang terakhir dihembuskan.Sedangkan ketika itu kita tidak lagi bertaubat kepada pencipta kita Allah s.w.t yang memberi nikmat yang tidak terhingga tanpa meminta balasan.Sebaliknya kita tidak bersyukur,malahan mengeksploitasikan nikmat yang diberi dengan kerosakan dan kemaksiatan dimuka bumi Allah s.w.t ini.


Teluskan hati kita untuk mencapai redha Allah s.w.t yang merupakan cita-cita setiap hambaNya.Ada kalanya kita tidak menyedari kesilapan yang kita lakukan sehingga menghijab jiwa-jiwa kita dari mendapat rahmat dan 'inayah Allah s.w.t.Pohonlah keampunan dengan hati yang ikhlas kerana Allah s.w.t maha pengampun lagi maha penerima taubat.


Antara syarat-syarat taubat nasuha yang ditetapkan oleh ulama ;

Taubat kepada Allah –

*Meninggalkan maksiat yang dilakukan.

*Menyesal dengan perbuatan yang dilakukan.

*Berazam tidak melakukan maksiat itu selama-lamanya.

Taubat kepada sesama manusia – (ditambah)

*Menyelesaikan hak sahabat yang dianiayai.


Didalam benak hati ini terdetik seketika tentang kejahilan lalu pada diri yang dho'if ini.Saya terlebih dahulu mengingatkan diri ini,seterusnya para sahabat yang sudi membaca blog yang serba kekurangan ini.Keampunan Allah s.w.t terbuka seluasnya untuk hambanya sehingga nyawa sampai dikerongkong,tetapi sesudah itu pintu taubat telah tutup buat selama-lamanya.Renung-renungkanlah sahabat sekalian,ketika roh masih dibadan lagi,ketika tangan masih mampu lagi untuk mengenggam.


Akhirnya, kemaafan diminta sekiranya tidak tersusun bahasa tersilap kata. Segalanya ini dari Allah SWT, saya ini sebagai wasilah sahaja. Kehidupan ini sementara sahaja, akhirat jualah kekal selamanya. Sekiranya ada sebarang komentar serta teguran yang membina bolehlah diajukan dalam shout box saya yang berwarna hijau ini, wassalam.

0 comments: